Rabu, 23 Julai 2008

I'm Not Single





Tajuk filem: I'm Not Single

Pengarah: Pierre Andre


Penerbit: David Teo


Genre: Komedi Romantik


Klasifikasi: Umum [U]



Pelakon: Farid Kamil, Lisa Surihani, Awal Ashaari, Intan Ladyana, Ahmad Idham, David Teo, Datuk Jalaluddin Hassan, Hafizudin Fadzil, Aznah Hamid, Fadzilah Mansor, Rusminah Sidek, Cat Farish



Tayangan: Mulai 24 Julai 2008



Sekali Imbas



Sebuah filem ringan yang boleh membuat anda tertawa dan rasa berbunga. Kolaborasi pelakon baru berwajah kacukan, Lisa Surihani dan pelakon kacak Farid Kamil menjadikan perjalanan filem ini berjiwa romantis dan bersahaja.
Ulasan Penuh
Pengarah filem ini pernah berkata, I'm Not Single buah tangan keduanya dibuat lebih teliti dan tidak seperti 9 September lyang menurutnya kurang fokus.



Ada benarnya juga kata Pierre itu. I'm Not Single yang menampilkan muka baru Lisa Surihani dipersembahkan pengarah itu dengan acuan yang lebih bersih, tersusun, cantik, menyentuh jiwa dan mencuit hati.



Pendek kata, usah pandang rendah dengan filem komedi romantik buatan tempatan, seperti I'm Not Single. Apa yang penting, elemen cinta dan komedi yang membawa anda membuai rasa dan tersenyum menjela, boleh didapati dalam filem ini.



Kemunculan David Teo dan Ahmad Idham yang memegang watak sebagai jurujual direct selling, ternyata melucukan. Siapa sangka, produser filem seperti David dan pelakon serius macam Ahmad Idham boleh membuat kita tersengih.



Peranan utama yang dibawa Lisa dan Farid sebagai pasangan suami isteri yang dikahwinkan atas kehendak keluarga juga menarik perhatian. Malah Pierre pernah berkata, Farid membawakan watak Adam sebagaimana yang dia idamkan.



Lisa, meskipun masih baru, juga menunjukkan kesungguhan, walaupun ada yang mengatakan graduan undang-undang itu sepatutnya meleraikan air mata ketika babak sedih. Nyata sedih tak semestinya menangis. Lihat saja lakonan Khatijah Tan dalam filem Embun, tidak lama dulu. Tanpa air mata, lakonannya masih diiktiraf di peringkat antarabangsa.



Walaupun tidak kelihatan Pierre dalam I'm Not Single, namun selera pengarah muda ini dalam melahirkan filem komedi romantik yang mantap mula terlihat dalam I'm Not Single. Tidak kira sama ada produksi Hollywood, Hong Kong mahupun tempatan, unsur cinta, air mata dan kehidupan bahagia adalah mesej yang sering dinaikkan. Bunyinya agak cliche tapi itulah hakikatnya filem bergenre komedi romantik.



Bagi I'm Not Single, cinta tiga segi antara Adam lakonan Farid Kamil, Maya (Lisa) dan Dani (Awal) adalah tarikannya. Paling utama, apa kata hati dalam memilih cinta sejati yang tulus dan ikhlas adalah sangat penting. Selamat terhibur mulai 24 Julai ini di pawagam berdekatan anda.



Sinopsis



I'm Not Single mengisahkan Adam (Farid Kamil) dan Maya (Lisa Surihani) yang dipaksa berkahwin pada usia muda kerana perancangan ibu bapa masing-masing yang bersahabat baik sejak kecil.



Walaupun saling membenci dan langsung tidak mempunyai rasa cinta, Adam dan Maya tiada alasan untuk membantah tambahan pula perancangan tersebut disokong kuat oleh nenek Maya yang sangat teringin melihat persandingan cucu tunggalnya sebelum menghembuskan nafas terakhir.



Maya sendiri mempunyai teman lelaki iaitu Dani (Awal Ashaari). Dani dan Maya adalah pasangan kekasih yang telah merancang untuk berkahwin. Dani tidak dapat menerima kenyataan Maya sudah berkahwin mencari jalan untuk mendapatkan Maya semula.
Mungkinkah 'percutian bulan madu' di rumah pusaka keluarga Adam merupakan satu rancangan yang bijak? Pelbagai peristiwa lucu dan mencuit hati berlaku sepanjang mereka tinggal bersama

Khamis, 10 Julai 2008

Sinopsis Sepi






Sinopsis Filem Sepi




Jalan menemui kebahagiaan tidak selalunya mudah. Untuk Adam, Sufi dan Imaan, sepi terlebih dulu menjengah hati mereka. Sepi membuat mereka mencari cinta, memilih cinta, dan menggengam cinta. Sepilah mengajar mereka erti cinta.
Adam seorang chef yang berjaya, dan kek perkahwinannya sering menjadi idaman pengantin. Dia sentiasa menghadiri majlis majlis perkahwinan – tanpa pasangan. Walau sentiasa dikelilingi teman-teman, Adam rasa tersendiri. Walau sentiasa kelihatan ceria, hatinya tercari-cari. Dia inginkan seseorang untuk berkongsi bahagia.
Tapi mungkinlah cinta yang dicari, telah lama berada di depannya?


Sufi & Marya



Setelah kematian isterinya, Sufi terbeban dengan memori. Hatinya yang kosong enggan meneruskan hidup tanpa kekasih hati. Dia berlari - menjauhkan diri dari realiti kehidupan, kerjaya, malah anaknya sendiri. Tidak terbayang olehnya cinta akan menjenguknya lagi. Bukankah cinta datang hanya sekali dalam hidup?
Imaan kecewa bila pementasan teater nukilannya tidak diambil serius oleh pelakon utamanya, Ean. Imaan bencikan Ean, tapi tanpa disedarinya, Ean berjaya mencuri hatinya. Benci berubah menjadi bibit cinta. Tapi Imaan sudah berpunya. Hatinya tersepit antara kasih pada dua lelaki yang begitu penting dalam hidupnya. Akhirnya, cinta memaksa Imaan memilih.
Tiga kisah yang berbeza, terikat dalam satu desitini.
Tonton Filem ini yang akan ditayangkan di seluruh pawagam mulai 26 Jun 2008.
Antara babak-babak menarik dalam filem SEPI.




Selasa, 8 Julai 2008

BS21 (BrainScan)



Kisah bermula apabila Dr.Suzana (Sharifah Shaheera) di bawah seliaan Prof. Dr. Taib Siron (M. Rajoli) berjaya mencipta sebuah mesin BS21 yang boleh membaca fikiran manusia. Walaupun BS21 amat penting dalam bidang perisikian ketenteraan namun, ia amat berbahaya jika terjatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab. Hal itu benar-benar terjadi apabila Cat (Cat Farish) dan orang kanannya Kupan (Bob Kuman) telah mencuri BS21 dari makmal Dr. Suzana.
Satu-satunya saksi yang melihat kejadian tersebut adalah Hashim (Zul Yahya), pengawal keselamatan makmal tersebut. Bermulalah pelbagai aksi dan perkara melucukan kerana BS21 sebenarnya boleh merealisasikan apa yang dihajati oleh pemakainya. Semasa dalam usaha melarikan diri, Cat dan Kupan bertembung dengan sekatan jalanraya oleh pihak polis. Kupan yang bersifat ‘bodoh-bodoh alang’ telah mencampakkan BS21 ke dalam semak apabila dimarahi Cat. Semasa Adruce (Nik Adruce), anak kepada Hashim dalam perjalanan balik dari sekolah, dia telah menemuinya dan membawa pulang BS21.
Di sekolah, Adruce adalah seorang budak yang kuat berangan dan sering tidur di dalam kelas. Adruce sangat menyukai Erin (Erin Malek), rakan sekelasnya dan mendapat tentangan daripada Eric (Eric), musuh ketat Adruce. Di rumah, Adruce sering tertekan dengan sikap ibunya (Nik Sayyidah) yang kuat membebel.
Sambil membelek-belek BS21 di dalam biliknya, macam-macam perkara difikirkannya tanpa mengetahui kebolehan mesin tersebut. Ibunya tidak berhenti-henti membebel dari luar bilik. Erin yang cantik sentiasa dikenang-kenang dan wajah Eric sentiasa didendaminya.
Keesokan harinya, segala-galanya berubah. Ayahnya telah mengambil sifat-sifat dan kerja-kerja ibunya dan begitulah sebaliknya yang terjadi kepada si ibu. Di sekolah, seperti di alam fantasi, Adruce dilayan seperti raja oleh semua termasuklah oleh Cikgu Bedah (Khatijah Tan); guru yang selalu memarahinya kerana suka tidur di dalam kelas, Eric yang menjadi orang suruhannya dan Erin menjadi seolah-olah puteri yang sentiasa bersama dengan puteranya.
Walaupun Adruce bahagia dilayan sedemikian tetapi dia terpaksa pulihkan keadaan kerana ibu dan ayahnya yang sudah bertukar karakter. Pelbagai usaha dilakukan oleh Adruce dan adiknya Fatin (Fatin Nur Afifah), Erin dan Eric untuk memulihkan keadaan. Tetapi, usaha tersebut bukanlah mudah kerana Cat dan Kupan sentiasa memikirkan cara untuk mendapatkan semula mesin tersebut. Begitu juga Dr. Suzana dan Prof. Taib.
Apakah kesudahannya dan siapakah dalang sebenar-benarnya disebalik huru hara yang berlaku? Segalanya akan disingkap menerusi filem ke 23 Metrowealth (MIG), BS21.