Rabu, 23 Julai 2008

I'm Not Single





Tajuk filem: I'm Not Single

Pengarah: Pierre Andre


Penerbit: David Teo


Genre: Komedi Romantik


Klasifikasi: Umum [U]



Pelakon: Farid Kamil, Lisa Surihani, Awal Ashaari, Intan Ladyana, Ahmad Idham, David Teo, Datuk Jalaluddin Hassan, Hafizudin Fadzil, Aznah Hamid, Fadzilah Mansor, Rusminah Sidek, Cat Farish



Tayangan: Mulai 24 Julai 2008



Sekali Imbas



Sebuah filem ringan yang boleh membuat anda tertawa dan rasa berbunga. Kolaborasi pelakon baru berwajah kacukan, Lisa Surihani dan pelakon kacak Farid Kamil menjadikan perjalanan filem ini berjiwa romantis dan bersahaja.
Ulasan Penuh
Pengarah filem ini pernah berkata, I'm Not Single buah tangan keduanya dibuat lebih teliti dan tidak seperti 9 September lyang menurutnya kurang fokus.



Ada benarnya juga kata Pierre itu. I'm Not Single yang menampilkan muka baru Lisa Surihani dipersembahkan pengarah itu dengan acuan yang lebih bersih, tersusun, cantik, menyentuh jiwa dan mencuit hati.



Pendek kata, usah pandang rendah dengan filem komedi romantik buatan tempatan, seperti I'm Not Single. Apa yang penting, elemen cinta dan komedi yang membawa anda membuai rasa dan tersenyum menjela, boleh didapati dalam filem ini.



Kemunculan David Teo dan Ahmad Idham yang memegang watak sebagai jurujual direct selling, ternyata melucukan. Siapa sangka, produser filem seperti David dan pelakon serius macam Ahmad Idham boleh membuat kita tersengih.



Peranan utama yang dibawa Lisa dan Farid sebagai pasangan suami isteri yang dikahwinkan atas kehendak keluarga juga menarik perhatian. Malah Pierre pernah berkata, Farid membawakan watak Adam sebagaimana yang dia idamkan.



Lisa, meskipun masih baru, juga menunjukkan kesungguhan, walaupun ada yang mengatakan graduan undang-undang itu sepatutnya meleraikan air mata ketika babak sedih. Nyata sedih tak semestinya menangis. Lihat saja lakonan Khatijah Tan dalam filem Embun, tidak lama dulu. Tanpa air mata, lakonannya masih diiktiraf di peringkat antarabangsa.



Walaupun tidak kelihatan Pierre dalam I'm Not Single, namun selera pengarah muda ini dalam melahirkan filem komedi romantik yang mantap mula terlihat dalam I'm Not Single. Tidak kira sama ada produksi Hollywood, Hong Kong mahupun tempatan, unsur cinta, air mata dan kehidupan bahagia adalah mesej yang sering dinaikkan. Bunyinya agak cliche tapi itulah hakikatnya filem bergenre komedi romantik.



Bagi I'm Not Single, cinta tiga segi antara Adam lakonan Farid Kamil, Maya (Lisa) dan Dani (Awal) adalah tarikannya. Paling utama, apa kata hati dalam memilih cinta sejati yang tulus dan ikhlas adalah sangat penting. Selamat terhibur mulai 24 Julai ini di pawagam berdekatan anda.



Sinopsis



I'm Not Single mengisahkan Adam (Farid Kamil) dan Maya (Lisa Surihani) yang dipaksa berkahwin pada usia muda kerana perancangan ibu bapa masing-masing yang bersahabat baik sejak kecil.



Walaupun saling membenci dan langsung tidak mempunyai rasa cinta, Adam dan Maya tiada alasan untuk membantah tambahan pula perancangan tersebut disokong kuat oleh nenek Maya yang sangat teringin melihat persandingan cucu tunggalnya sebelum menghembuskan nafas terakhir.



Maya sendiri mempunyai teman lelaki iaitu Dani (Awal Ashaari). Dani dan Maya adalah pasangan kekasih yang telah merancang untuk berkahwin. Dani tidak dapat menerima kenyataan Maya sudah berkahwin mencari jalan untuk mendapatkan Maya semula.
Mungkinkah 'percutian bulan madu' di rumah pusaka keluarga Adam merupakan satu rancangan yang bijak? Pelbagai peristiwa lucu dan mencuit hati berlaku sepanjang mereka tinggal bersama

Khamis, 10 Julai 2008

Sinopsis Sepi






Sinopsis Filem Sepi




Jalan menemui kebahagiaan tidak selalunya mudah. Untuk Adam, Sufi dan Imaan, sepi terlebih dulu menjengah hati mereka. Sepi membuat mereka mencari cinta, memilih cinta, dan menggengam cinta. Sepilah mengajar mereka erti cinta.
Adam seorang chef yang berjaya, dan kek perkahwinannya sering menjadi idaman pengantin. Dia sentiasa menghadiri majlis majlis perkahwinan – tanpa pasangan. Walau sentiasa dikelilingi teman-teman, Adam rasa tersendiri. Walau sentiasa kelihatan ceria, hatinya tercari-cari. Dia inginkan seseorang untuk berkongsi bahagia.
Tapi mungkinlah cinta yang dicari, telah lama berada di depannya?


Sufi & Marya



Setelah kematian isterinya, Sufi terbeban dengan memori. Hatinya yang kosong enggan meneruskan hidup tanpa kekasih hati. Dia berlari - menjauhkan diri dari realiti kehidupan, kerjaya, malah anaknya sendiri. Tidak terbayang olehnya cinta akan menjenguknya lagi. Bukankah cinta datang hanya sekali dalam hidup?
Imaan kecewa bila pementasan teater nukilannya tidak diambil serius oleh pelakon utamanya, Ean. Imaan bencikan Ean, tapi tanpa disedarinya, Ean berjaya mencuri hatinya. Benci berubah menjadi bibit cinta. Tapi Imaan sudah berpunya. Hatinya tersepit antara kasih pada dua lelaki yang begitu penting dalam hidupnya. Akhirnya, cinta memaksa Imaan memilih.
Tiga kisah yang berbeza, terikat dalam satu desitini.
Tonton Filem ini yang akan ditayangkan di seluruh pawagam mulai 26 Jun 2008.
Antara babak-babak menarik dalam filem SEPI.




Selasa, 8 Julai 2008

BS21 (BrainScan)



Kisah bermula apabila Dr.Suzana (Sharifah Shaheera) di bawah seliaan Prof. Dr. Taib Siron (M. Rajoli) berjaya mencipta sebuah mesin BS21 yang boleh membaca fikiran manusia. Walaupun BS21 amat penting dalam bidang perisikian ketenteraan namun, ia amat berbahaya jika terjatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab. Hal itu benar-benar terjadi apabila Cat (Cat Farish) dan orang kanannya Kupan (Bob Kuman) telah mencuri BS21 dari makmal Dr. Suzana.
Satu-satunya saksi yang melihat kejadian tersebut adalah Hashim (Zul Yahya), pengawal keselamatan makmal tersebut. Bermulalah pelbagai aksi dan perkara melucukan kerana BS21 sebenarnya boleh merealisasikan apa yang dihajati oleh pemakainya. Semasa dalam usaha melarikan diri, Cat dan Kupan bertembung dengan sekatan jalanraya oleh pihak polis. Kupan yang bersifat ‘bodoh-bodoh alang’ telah mencampakkan BS21 ke dalam semak apabila dimarahi Cat. Semasa Adruce (Nik Adruce), anak kepada Hashim dalam perjalanan balik dari sekolah, dia telah menemuinya dan membawa pulang BS21.
Di sekolah, Adruce adalah seorang budak yang kuat berangan dan sering tidur di dalam kelas. Adruce sangat menyukai Erin (Erin Malek), rakan sekelasnya dan mendapat tentangan daripada Eric (Eric), musuh ketat Adruce. Di rumah, Adruce sering tertekan dengan sikap ibunya (Nik Sayyidah) yang kuat membebel.
Sambil membelek-belek BS21 di dalam biliknya, macam-macam perkara difikirkannya tanpa mengetahui kebolehan mesin tersebut. Ibunya tidak berhenti-henti membebel dari luar bilik. Erin yang cantik sentiasa dikenang-kenang dan wajah Eric sentiasa didendaminya.
Keesokan harinya, segala-galanya berubah. Ayahnya telah mengambil sifat-sifat dan kerja-kerja ibunya dan begitulah sebaliknya yang terjadi kepada si ibu. Di sekolah, seperti di alam fantasi, Adruce dilayan seperti raja oleh semua termasuklah oleh Cikgu Bedah (Khatijah Tan); guru yang selalu memarahinya kerana suka tidur di dalam kelas, Eric yang menjadi orang suruhannya dan Erin menjadi seolah-olah puteri yang sentiasa bersama dengan puteranya.
Walaupun Adruce bahagia dilayan sedemikian tetapi dia terpaksa pulihkan keadaan kerana ibu dan ayahnya yang sudah bertukar karakter. Pelbagai usaha dilakukan oleh Adruce dan adiknya Fatin (Fatin Nur Afifah), Erin dan Eric untuk memulihkan keadaan. Tetapi, usaha tersebut bukanlah mudah kerana Cat dan Kupan sentiasa memikirkan cara untuk mendapatkan semula mesin tersebut. Begitu juga Dr. Suzana dan Prof. Taib.
Apakah kesudahannya dan siapakah dalang sebenar-benarnya disebalik huru hara yang berlaku? Segalanya akan disingkap menerusi filem ke 23 Metrowealth (MIG), BS21.

Jumaat, 27 Jun 2008

Filem Animasi 3D Yang Pertama Di Malaysia: Geng The Adventure Begins



Kebiasaannya kita sudah lihat animasi malaysia seperti tandania, setelor, danial dan yang sedang ditayangkan di rtm 1 iaitu Spirit of Sound yang menemui anda semua setiap Isnin jam 7.30 malam.

Sekarang, terbitlah sebuah animasi yang menggunakan teknik 3d yang bertajuk Geng The Movie.

Saya menceritakan sinopsis berdasarkan laman web mereka.

Disebabkan terasa kebosanan ketika cuti persekolahan, Badrol mengajak kawan baiknya Lim untuk pergi berkhemah berdekatan kampungnya, tempat dia membesar. Tujuan ke sana hanyalah sekadar merasai semula kehidupan cara hidup Malaysia sebenar di dusun durian datuknya. Namun, percutiannya bukan setakat itu sahaja, sebaliknya telah mengheret mereka ke arah satu tanda tanya dalam siri pengembaraan mereka. Mereka telah menemui satu penemuan misteri tentang sebuah rumah yang berada jauh di dalam hutan itu. Bersama-sama rakan barunya, Rajoo, Ros dan sepasang beradik kembar, telah memberi kata sepakat mereka untuk turut sama membongkarkan rahsia di sebalik kisah sebenar tentang Kampung itu.




Nak tau lebih lagi... silalah ke laman web mereka di...http://www.lescopaque.com/

Isnin, 23 Jun 2008

Filem Duyung


Dulu-dulu, pernah kita tonton filem lama berjudul Air Mata Duyung (1964) arahan M. Amin lakonan Nordin Ahmad dan Suraya Haron. Filem cereka fantasi ini menceritakan tentang seorang nelayan bernama Awang Jermal yang bersahabat baik dengan putera raja bernama Engku Alang di mana dalam masa yang sama, adik Engku Alang, Engku Suraya telah jatuh cinta dengan Awang Jermal. Akibatnya Engku Suraya telah disumpah menjadi ikan duyung kerana bercinta dengan rakyat biasa.
Terbaru, sebuah lagi filem yang menggunakan ikan duyung sebagai objek utama. Filem diterbitkan oleh KRU Film ini diarahkan oleh Prof Abdul Razak Mohaideen. Antara pelakon filem Duyung ialah Maya Karin, Saiful Apek, Yassin Yahya, Yasmin Hani, Abu Bakar Omar, Hafidzuddin Fazli, Rosnah Mat Aris, Raja Nor Baizura dan ramai lagi. Melihat pada senarai pelakon, saya keliru adakah filem ini lebih menjerumus kepada komedi atau fantasi cereka romantik?
Melihat nama Maya Karin membawa watak ikan Duyung, Budiey mahu mengucapkan tahniah pada beliau kerana berjaya dipilih untuk watak sebegini. Maya Karin semestinya rasa bertuah sebab diberi peluang untuk menjadi ikan Duyung. Setelah menjadi puntianak, Maya Karin dijelmakan pula sebagai ikan duyung; satu lagi legenda dalam filem Melayu. Budiey yakin Maya karin mampu memperbaiki bakat lakonannya dan mengukuhkan citra dan gaya lakonan cemerlang untuk menjadi seorang biduanita atau ratu filem untuk menggantikan Erra Fazira yang tengah jatuh merudum.
Seperti biasanya, KRU akan menerbitkan album soundtrack filem Duyung menampilkan Dafi AF5 dan beberapa artis di bawah KRU Records. Mungkin KRU boleh memperluaskan bisnes marketing dengan menghasilkan novel Duyung pula selepas ini?

Ahad, 22 Jun 2008

Need For Speed Most Wanted


Need for Speed: Most Wanted (NFS:MW) adalah permainan video perlumbaan berbilang platform. dibangunkan oleh EA Black Box dan mula dilancarkan oleh Electronic Arts bagi pasaran Amerika Syarikat pada 15 November 2005. Ia adalah sebahagian daripada siri permainan Need for Speed. Permainan ini memperkenalkan semula aksi kejar-mengejar dengan polis sebagai fokus utama kepada gaya permainan berorientasikan lumba haram, dengan beberapa (tetapi tidak semua) pilihan pengubahsuaian daripada siri Need for Speed: Underground. Permainan ini disusuli oleh Need for Speed: Carbon, yang merupakan sambungan kepada jalan cerita Most Wanted.
Most Wanted dilancarkan untuk komputer peribadi berasaskan Windows, PlayStation 2, Nintendo GameCube, Xbox, Xbox 360 (sebagai tajuk pelancaran), Game Boy Advance, Nintendo DS serta telefon bimbit. Satu lagi versi Most Wanted, bertajuk Need for Speed: Most Wanted: 5-1-0 telah dilancarkan untuk PlayStation Portable.
'Black Edition', edisi pengumpul bagi Most Wanted, telah dilancarkan bagi menyambut ulang tahun siri Need for Speed ke-10 serta bersempena dengan pelancaran Most Wanted. Black Edition menampilkan perlumbaan tambahan, kereta bonus serta kandungan tambahan. Black Edition juga didatangkan dengan DVD khas yang mengandungi temu ramah serta video mengenai permainan. Black Edition dilancarkan bagi versi PC, PlayStation 2 dan Xbox di Amerika Syarikat dan Australia;[1] hanya versi PlayStation 2 sahaja dikeluarkan untuk pasaran Eropah

Sabtu, 21 Jun 2008

Filem Congkak








Kisahnya bermula apabila Kazman serta isterinya Sufiah mengambil keputusan bercuti bersama dua anaknya, Lisa dan Ely di sebuah banglo di tepi tasik. Kazman sudah berjanji dengan seorang kawannya untuk membeli banglo tersebut sebagai persinggahan semasa bercuti. Pelbagai peristiwa pelik berlaku sepanjang perjalan mereka termasuk kehilangan telefon bimbitnya.
Setibanya mereka di banglo tersebut, peristiwa yang semakin pelik turut terjadi. Sufiah cuba meyakinkan Kazman untuk keluar dari rumah tersebut tetapi tidak diendahkan. Kazman tetap berkeras untuk membeli rumah tersebut kerana sudah berjanji dengan kawannya.
Sufiah sentiasa merasakan ada makhluk sedang memerhatikannya. Salah seorang anak mereka, Lisa setiap malam akan turun ke sebuah bilik gelap untuk bermain congkak dengan seseorang yang hanya boleh dilihat olehnya seorang. Sufiah yang tidak boleh bersabar dengan perkara itu telah membuang congkak tersebut ke dalam tasik. Lisa juga sentiasa bermain di tepi belukar di belakang rumah kerana kawannya tinggal di situ sehingga Kazman perasan Lisa bermain menghadap kubur lama.
Pada malam keesokannya, Sufiah dikejutkan lagi dengan bunyi congkak tersebut dari bilik yang sama. Apabila Sufiah pergi melihat, dilihatnya seorang tua sedang bemain congkak tersebut. Semakin lama peristiwa yang berlaku semakin pelik dan menyeramkan sehingga pada malam ketiga kedua-dua anaknya telah hilang dan Sufiah didapati tidur di siling bilik.
Pak Tua, penduduk paling lama di kampung itu telah pergi ke rumah tersebut untuk menyelamatkan keluarga Kazman dan mencari Ely dan Lisa.






Apakah sejarah sebenar banglo tersebut dan dapatkan Sufiah diselamatkan serta berjayakah Ely dan Lisa ditemui semula. Segalanya bakal terungkai dalam sebuah lagi filem seram terbitan Metrowealth (MIG), CONGKAK.